Tuesday 28 September 2010

NIKMAT SIHAT YANG DILALAIKAN

Apabila Allah mengurniakan nikmat sihat yang berpanjangan, kita lupa menggunakan nikmat sihat itu sebaik-baiknya untuk beribadat kepadanya tanpa ada niat untuk mendapatkan balasan. Sesetengah kita cukup payah untuk mendapat penyakit. Seumur hidup, demam boleh dikira dengan jari. Selesema jauh sekali. Nikmat yang diberi kadang-kadang menyebabkan kita berkira untuk berbakti kepada orang sekeliling. "kedekut ghiang" dalam loghat utara. Mak cakap, kalau kita "kedekut ghiang" nanti Allah tarik nikmat sihat tu. Sebabnya kita tak nak menggunakan nikmat sihat itu untuk membantu orang di sekeliling. Mungkin itu apa yang terjadi kepada saya. Alhamdulillah, saya dalam golongan yang payah mendapat penyakit walaupun berpanas berhujan. Tapi, mungkin ada perbuatan saya yang "kedekut ghiang" tu menyebabkan Allah menarik nikmat sihat buat sementara waktu. Cerita ini saya kongsikan bukanlah nak menarik simpati tapi untuk mengingatkan saya dan pembaca bahawa tenaga yang diberi Allah bukanlah eksklusif untuk kita tetapi untuk dikongsikan dengan orang sekeliling yang mungkin memerlukan tenaga kita.
Ingat tak yang saya foldedkan note dari seseorang tu? Saya berkira kerana menurut perkiraan saya dia tak menyumbang apa-apa pun, oleh itu kenapa saya perlu membentangkan hasil kerja saya dengannya? Di sini saya melupakan hakikat bahawa dia seorang yang tua dan sudah lama meninggalkan alam pelajaran. Mungkin masalah baginya mencari maklumat dan menyusunnya berbanding kita yang muda yang dikurniakan kepantasan berfikir dan membuat kerja. Lagipun dia hanya nak menumpang untuk membuat pembentangan sahaja. Apakah ruginya saya? Mungkin di situ silapnya, wallahualam.
Saya diuji malam tu selepas makan mee bandung yang dibeli di luar oleh rakan sekuliah. Di bilik saya, saya dan dua orang rakan Asmida dan Nana berfestive seketika setelah sehari suntuk kelas. Kami menjamu selera dengan mee bandung, kek coklat, buah oren, dan makanan-makanan sampingan lain. Semua disumbatkan ke dalam perut. Mee bandung yang dimakan agak pedas. Tapi bagi orang utara pedas ni alah bisa tegal biasa. Saya terlupa yang saya ni pernah mengalami luka usus akibat terlalu suka makan benda pedas. Disebabkan mengabaikan kesihatan diri dan melalaikan nikmat sihat yang diberi, pukul 3 pagi saya menerima padahnya. Saya terlantar di atas kerusi walaupun mata ni terkebil-kebil menahan kantuk. Nak baring, perut tak selesa.
Perkara ni berterusan sampai pagi ni, lepas Subuh baru saya dapat lelapkan mata. Bagi mereka yang payah nak sakit, sekali sakit memang teruk. Saya masih cuba bertahan. Rakan yang datang ke bilik menegur wajah saya yang pucat. Dia merasa dahi. Tak demam pun. Pukul 7 keadaan sakit saya berlarutan. Saya berulang-alik ke tandas sehingga tandas pun jemu tengok muka saya. Tapi, apakan daya. Keadaan menjadi semakin teruk apabila dalam perut sudah tidak ada apa-apa yang nak diproses. Sakit tu membawa kepada keadaan mual. Sungguh tidak selesa. Akhirnya saya muntah. Huhu. Sudah lama rasanya tak muntah. Kali terakhir adalah waktu sekolah rendah. Mari saya ceritakan sedikit muntah waktu sekolah rendah ni. :) Agak kelakar di sini.
Saya ni suka makan satu kek gulung nih. (bila terbayang balik kek tu, saya rasa nak muntah pula). Satu bungkus 50 sen. Disebabkan terlalu suka (payahnya perangai kalau suka kat sesuatu tak pandai bersederhana dalam perasaan) Untuk merasai kenikmatan yang berpanjangan memakan kek gulung perisa pandan ni, saya beli setiap hari satu bungkus dan saya simpankan dalam satu bekas. Sebelum meletakkan kek gulung dalam bekas tu, saya potongkan dalam bentuk dadu supaya boleh nikmati dengan lebih lama. Kumpul punya kumpul, penuhlah satu bekas tu. Tibalah masanya untuk saya menikmati kek gulung perisa pandan secara maksimum. Saya tak kongsi dengan adik beradik. Teruk betul perangai. Satu lagi perkara yang menghilangkan keberkatan. Sikap tidak suka berkongsi. Saya makan sensorang sampailah separuh bekas tu. Saya simpan separuh kek gulung tu untuk dinikmati esok hari. Pada malamnya, saya mula rasa mual-mual tekak, perut tak selesa. Apalagi, saya pun muntah malam tu juga. Boleh tekakan apa isi muntah tu? Huaaa...kek gulung pandan. Wekkk....hijau ja. Esoknya, saya dermakan kek gulung tu kepada adik-beradik tanpa mengambil sedikit pun bahagian saya. Sejak hari tu juga, saya tak boleh tengok kek gulung apalagi memakannya. Tak kiralah perisa apa pun. Tak percaya tanyalah rakan seangkatan atau adik beradik, pernah tak mereka melihat saya membeli kek gulung apalagi memakannya. Serik...
Berbalik kepada cerita di atas, muntah tu hanya mengeluarkan air dan paling teruk mengeluarkan asid yang ada dalam perut yang berfungsi untuk mencerna makanan. Warna kekuning-kuningan. Tekak pun rasa pahit semacam. Tak boleh jadi ni. Saya meminta kawan belikan pil chi-kit teck aun. Disebabkan lambat sangat dia nak hantar, saya memilih resolusi terakhir, panadol. Dalam keadaan lembek tu saya bergerak ke B-mart. Sambil menahan perut yang memulas-mulas saya mencapai panadol 4 biji. Waktu nak bayar tu saya rasa nak muntah kembali. Saya menahan mulut:
"Cepat...nak termuntah ni..."
Menggelabah adik tu takut saya muntah di dalam kedai. Selepas mencapai ubat tu, saya bergegas turun ke tandas foyer dan muntah di sinki tanpa dapat ditahan. Ya Allah, serasa-rasa macam dah nak mati. Tambah pula tak ada apa yang nak dimuntahkan, lagi seksa. Balik ke bilik saya ragu-ragu nak menelan ubat. Payahnya saya nak makan ubat hanya Allah yang tahu. Kalau waktu kecik-kecik dulu, kalau demam, abah tolong pegang, mak tolong suapkan. Pastu saya muntahkan kembali. Kalau batuk-batuk tu, bila mak suruh makan ubat, saya amik botol ubat pastu tuangkan sedikit ke dalam sinki. Waktu nak tidur tu saya sedaya-upaya menahan diri daripada batuk. Mak yang tak tahu menahu, "Haaa, tengok, kan dah tak batuk dah...lain kali makan ubat tu," tanpa mengetahui keadaan saya yang terseksa menahan batuk daripada kedengaran. Ampun mak...cek tak buat dah. Selama hidup ni, hanya satu batang gigi doktor cabutkan, yang lain saya cabut sendiri sebab takut kena injection. Betapa takut saya dekat doktor tapi pernah ada hati nak kawin dengan doktor.. Email pun letakkan mrdoc di hadapan. Takkah pelik tu?
Tapi disebabkan keadaan mendesak, saya telankan juga dua biji panadol. Seperti biasa, bahasa badan saya yang cukup arif dengan jiwa saya menolak ubat yang dimasukkan. Tak sempat ke tandas, saya muntah di pertengahan laluan, lepas tu sekali lagi di lantai tandas dan akhir sekali barulah berjaya sampai ke sinki. Dalam keadaan lembek-lembek tu saya baring dan dadah pun mula berfungsi dalam sistem badan. Dalam keadaan separuh sedar, saya tahu saya dah mula demam. Badan dah panas. Serasa-rasa ada orang yang masuk ke bilik dan merasa leher saya. Tak pasti sama ada khayalan atau mimpi. Apabila difikir-fikirkan kembali, keadaan yang menimpa saya ni hanyalah separuh hari...bayangkan ibu yang mengandung selama 9 bulan tu. Ya Allah, betapa tidak selesanya mereka. Wahnan 'ala wahnin. Kepayahan demi kepayahan yang dilalui. Tabahnya seorang ibu tak dapat dibayangkan. Muntah itukan menyeksakan. Sepupu saya sepanjang 9 bulan mengandung sentiasa muntah lepas tu alergi dengan bau-bauan, masyaAllah...
Apabila telefon mak, mak merungut "Haish, selama duduk kat rumah tak pernah demam, duduk kat luar asyik demam jer nih, kenapa?" Alahai mak, baru sekali kot cek demam. Yang lain tu pra-demam. Yerlah, kan di rumah itu emak ada. Sekali mak belai ja demam terus hilang. Tak sempat nak sakit pun. Ni dok UKM, tak ada sesiapa nak belai pun...belailah diri sendiri.
Malam pembentangan saya, pembentangan berjalan dengan lancar dan meriah sebab tajuknya yang agak kontroversi. Murtad di Malaysia. Selepas pembentangan kawan menegur air muka saya yang kurang ceria. Bukanlah saya marahkan si dia yang nak menumpang bentang, tapi saya terfikir kembali nikmat sihat yang sudah saya lalaikan...semoga Allah mengampuni kita semua yang kadang-kadang terlalu berkira sewaktu hendak menolong orang. Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara...sihat sebelum sakit. Sekarang baru sedar betapa nikmatnya sihat itu...~cerialah kembali perut supaya mampuku teruskan sisa-sisa perjuangan mempersiapkan tugasan yang menimbun nih...
~ Creating ideas for lives ~

No comments:

..:[ VisiTors ]:..

Free Hit Counter