(Lautan luas sanggup kurenangi~berenang pun tak pandai)
Pernah tak kita berada dalam keadaan yang tidak patut? Tidak patut ni maksudnya dalam keadaan yang kita rasa kalau lantai tu boleh telan kita macam batu belah batu bertangkup mesti kita dah seru, "Batu belah batu bertangkup, tangkuplah aku, aku tak boleh terima keadaan ni".
Baru saya sedar selama ni saya terlalu selesa. Teramat-amat selesa. Kadang-kadang kedudukan yang selesa membuatkan kita seakan-akan jalan tak pijak tanah. Di awang-awangan. Sekali ada satu masa, ada orang yang menyedarkan kita, menghumban kita kembali ke tanah, menempelak kita 'ha, nilah asal kamu'. Perasaan terhempas dan mencium tanah itu teramatlah pedih dan sakit. Tapi ia berjaya membawa kita kembali ke tempat asal kita.
Memetik kata-kata H.M. Tuah;
"Jangan marah kalau orang letakkan kita dalam
tak selesa, tak sesuai, tak patut, sebab boleh jadi di situlah
kita boleh bina kecemerlangan diri kita. Jangan marah dengan cabaran
sebab cabaran itu hambatan. Hambatan adalah makanan. Hambatan
adalah peraturan menuju jaya"
Ya, setakat peperiksaan, masalah peribadi tu perkara enteng. Kita masih selesa apabila kita menghadapi masalah tersebut sebab ia hanyalah melibatkan diri dan hati. Macam mana yang dikatakan keadaan tidak selesa? Apabila kita berada dalam keadaan yang bukan kebiasaan kita berada. Apabila kita berada di keliling orang yang bukan kebiasaan kita bersama. Terdiri daripada pelbagai jenis orang yang punya pelbagai persepsi terhadap kita. Mempunyai gaya berfikir yang berbeza. Dan apa yang lebih penting, kita tak boleh lari dari keadaan tersebut. Memetik nasihat sahabiah yang jauh, 'keadaan tak kawal kita, kita yang kawal keadaan'.
Dalam satu-satu keadaan, ketidakselesaan itu akan menjadi semakin parah apabila kita ditegur di khalayak ramai tanpa kita punya peluang untuk membela diri. Ya...apa perlunya pembelaan diri kalau itu memang salah kita. Tapi untuk ditegur di hadapan khalayak atas kesalahan yang memang berpunca dari kita, itu memang dah cukup untuk menjatuhkan ego kita macam kek dibaling ke atas lantai. Kek yang tadinya lawa macam manapun akan terpenyek dan menjadi huduh. Itulah yang saya rasa. Saya memang tak boleh nak rasionalkan keadaan tersebut. Tambahan pula ditegur pula oleh orang tak kita kenali. Siapakah dia???
Siapakah dia tu tak penting...hatta yang menegur kita itu si benggali jual karpet, kalau itu memang kesalahan kita dan kesalahan kita memberi kesan kepada kemaslahatan ummah, kejayaan dakwah, keberkesanan tarbiyah, kita kena terima. Ya, kena terima dan muhasabah kembali selepas tu teruskan berjuang. Kita takkan tahu potensi diri selagi mana kita berada dalam zon selesa. Berada dalam bilik, dikelilingi oleh rakan-rakan yang kita sukai, pergi ke tempat yang memang kita nak pergi dan segala sesuatu yang menjadi kebiasaan.
Sudah tiba masanya kita keluar dari zon ini, cabar diri sendiri, pergi ke tempat baru, bersama dengan orang-orang yang sangat asing dengan kita, cuba untuk mencari titik persamaan, dan yang penting sekali, cuba untuk mencipta keselesaan dengan keadaan baru tersebut. Berada dalam ketidakpastian memang sesuatu yang sungguh tidak selesa. Apatah lagi kita bakal diserang dari segenap sudut di luar jangkaan. Jadi keterbukaan hati itu penting. Kena teruk macam mana pun, akhir sekali kita kena ingat, semua ini adalah tarbiyah dari Allah. Manusia sekeliling hanya merupakan alat tarbiyah untuk diri kita. Ya, ya, semakin dapat merasionalkan diri sendiri dan membina semangat baru. InsyaAllah.
Pokoknya letakkan keredhaan dan tawakal kepada setiap apa yang bakal Allah berikan kepada kita sama ada perkara tersebut merupakan sesuatu yang manis atau pahit untuk ditelan. (walaupun tak suka ubat, kena telan juga okeh). Akhir sekali, moga kita lebih kuat dan thabat untuk berjuang di jalannya.
Memetik nasihat seorang rakan yang diambil dari pesan Hassan al-Banna, sebenarnya kita sekarang ini hanya bermain-main di pinggir pantai dan tidak pernah cuba untuk berenang dalam lautan perjuangan. Jadi kalau setakat air membasahi kaki seluar, tak perlulah kita terus lari dari pantai dan mengaku kita dah lemas.
Faiza'azamtafatawakal'alallah
~Al-islamu ya'lu wala yu'la 'alaih~
~ Creating ideas for lives ~
No comments:
Post a Comment