Manusia ni banyaknya yang jenis cepat bosan. Termasuklah aku. Kalau kena buat perkara rutin, mesti perasaan bosan tu akan singgah. Rasa macam masa bergerak seperti siput. Kalau boleh nak tiap-tiap hari happening jer. Tapi bila happening, mulalah kelam-kelibut perasaan.
Apakah yang cuba aku sampaikan ini? Sebenarnya, aku memiliki perasaan cepat bosan yang keterlaluan dan sebenarnya perasaan ini kadang kala menyakiti hati sesetengah pihak terutamanya sahabat-sahabatku. Tapi kalau yang dah rapat tu, mungkin tak ambil kisah. Kebosanan yang terlampau akan menyebabkan seseorang itu menjadi tidak berperasaan. Dia menjadi kurang sensitif dengan suasana persekitaran.
Tapi masalah aku sekarang, aku kebosanan dengan rutin harian di tempat kerja. Aku rasa masa bergerak seperti siput meniti di atas permukaan daun. P e r l a h a n- l a h a n. . .Aku agak tidak sabar menanti hari aku akan balik ke rumah menandakan pengembaraan aku sepanjang cuti semester ini akan berakhir tidak lama lagi.
Tapi, sejak beberapa hari ini aku merasakan masa bergerak dengan begitu cepat ( hakikat sebenar masa sememangnya cepat), tinggal lagi 7 hari aku di sini. Hal ini demikian kerana, aku menemui penawar kepada kebosanan aku iaitu kesabaran. Besar peranan sabar ini. Contoh-contoh sabar:
1) Tidak merungut. Kalau kita perhatikan, dalam satu minit, berapa patah perkataan yang manusia boleh tuturkan? Banyakkan? Sebab itulah kita rasakan lecture dua jam rasa macam satu hari. Sebabnya manusia boleh tuturkan banyak benda dalam satu minit. Hal ini akan menyebabkan manusia yang mendengar kebosanan apabila terlalu banyak input yang menerjah ke dalam tempurung kepala. Jadi, apabila kita mula merungut, itu hanya menyebabkan masa dirasakan lambat bergerak sebab kita merungut dan merungut tanpa ada kesan pun terhadap masa. Sehingga kami terpaksa tubuhkan Kelab Janggut (Jangan Merungut) waktu peperiksaan semester hari tu bagi mengelakkan banyak merungut. Cuba kita tak merungut langsung dengan perkara rutin kita. Kita buat jer. Pastu kita jangan banyak bercakap. Tup-tup, aik dah tinggal 7 hari jer lagi. Sekarang aku merasakan masa bergerak pantas apabila aku tidak merungut.
Alamak, tadi rasanya idea macam mencurah-curah ke ladang gandum, tapi bila mengadap laptop dah tak tahu nak taip apa. Disebabkan tak tahu dah nak sambung apa, aku just nak pesan kat diri dan semua, kurangkan merungut dan tingkatkan kesabaran. Orang selalu cakap, sabar ada batasnya. Hakikatnya, kesabaran itu tidak ada batasan bahkan ia adalah infiniti. Nafsu kita yang meletakkan batas tersebut. Yer la, kalau dah nafsu amarah menguasai diri, mestilah dia nak pastikan nafsu tersebut puas. Jadi guna alasan kesabaranku ada batasnya. Tapi bergantung juga kepada situasi. Kan ada marah yang dituntut. Marah kerana Allah. Hmm...aku cuma menyampaikan dan dalam masa yang sama dalam proses pengaplikasian sifat sabar nih.
Kebosanan juga menyumbang kepada berlakunya segala gejala sosial. Banyak situasi yang kita dapat lihat hari ini terjadi disebabkan ada unsur-unsur kebosanan yang terlampau dalam diri dan tidak diubati. Salah satu ubatnya ialah sabar. Contohnya, kalau kita bosan dengan perangai seseorang, kita akan jadi cepat melenting jika dia buat kesalahan yang sama. Cuba kalau kita sabar. Arwah tok aku memang sabar orangnya. Walaupun aku fikir tok aku ni bosan dengan perangai tok wan aku yang suka mengutuk tok aku depan-depan orang, tapi kesabaran tok aku jelas kelihatan. Dia senyum jer. Aku tak pasti aku boleh sabar ke dak. Tapi memang orang dulu-dulu nih, tahap kesabaran dia tinggi sehingga mengatasi rasa bosan mereka. Sebab tu mereka boleh duduk rumah jaga anak-anak sampai 13 orang, layan kerenah anak-anak dan suami. Buat rutin harian dari pagi sampai malam selama 50 tahun hidup bersama. Sabarkan? Salah satu faktor mereka sabar itulah, sifat kurang merungut tu. Berleter lain. Berleter tu salah satu cara menghidupkan suasana. Berleter macam mana pun orang-orang dulu, tak pernah pun berpatah arang, berkerat rotan. Orang sekarang nih, tak berleter pun, tak cakap banyak pun, tup-tup..." Abang, ceraikan saya. Saya dah tak serasi hidup dengan abang." Yang suami plak. " Kalau itulah yang awak pinta, saya tunaikan. Saya pun rasa kita memang dah tak sehaluan."
Contoh lain kesabaran ialah:
2) Tidak memikirkan bahawa anda sebenarnya berasa bosan.
Jangan sesekali buat kesimpulan, aku dalam kebosanan. Itu yang selalu aku buat dan ia amat menyeksakan. Menjadikan aku manusia yang tidak berperasaan dan selalu membuat keputusan yang tergesa-gesa bagi mengelakkan kebosanan. Hakikatnya, aku hanya menjerumuskan diri ke dalam situasi yang membuntukan fikiran dan menyenakkan kepala otak. Walaupun kita bosan tahap cipan, cuba untuk tidak mempedulikan perasaan tersebut dan membuat kesimpulan bahawa kita merasa bosan dengan keadaan kita sekarang. Hal ini akan membuatkan kita memikirkan perkara-perkara baru bagi mengelakkan kebosanan. Kalau perkara yang kita fikir tu adalah perancangan yang teliti dan dipertimbangkan tak pa la juga. Tapi kalau keputusan tergesa-gesa sebab dah tak sabar-sabar nak keluar dari rasa bosan, ianya akan memakan diri di kemudian hari.
Setakat itu sahaja, aku sahaja nak pujuk diri dan mendorong diri supaya lebih banyak bersabar.
-Al-islamu ya'lu wala yu'la 'alaih-
~ Creating ideas for lives ~
No comments:
Post a Comment