Thursday, 8 October 2009

ANTARA DUA DARJAT...

Lama tak post something kat blog. Beberapa minggu terakhir sebelum nak final exam macam-macam perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan. Serabut kepala memikirkan yang mana satu patut diutamakan. Namun, akhirnya perkara lain yang kurang penting diutamakan. Sakit kepala, sakit hati.

Bukan perkara ini yang ingin dikongsi. Tapi, perkara yang berkaitan dengan tajuk di atas. Tadi, selepas kelas, berpeluang ikut senior naik ke pejabat Canselor. Bukan calang-calang orang boleh naik ke atas kalau tidak ada urusan penting atau jawatan tinggi. Jadi, peluang itu tidak aku lepaskan begitu sahaja. Naik ke tingkat 6 bangunan Canselori aku memerhati sekeliling. Masuk ke ruang eksklusif. Perabot-perabot pun eksklusif. Sebelum ke pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC), ruang hadapan, ada pengawal sedang menunggu. Nak masuk kena mendaftar dahulu. Aku kena tegur dengan pengawal tersebut sebab tak pakai kad matrik. Kena lecture jap. Kad matrik ada, cuma tak disangkut kat leher. Tak palah, memang salah aku pun. Tak kisahlah kena tegur, bukan selalu pun nak datang sini. Tahan jer telinga.

Masuk ke dalam ruang yang menempatkan bilik TNC dan Naib Canselor (NC). Bilik NC tak kelihatan dari luar. Kena tempuh bilik Pembantu Khas sahaja. Kiranya, aku tak berpeluang masuk ke bilik NC ler. Nampak pintu jer. Tapi berpeluang masuk ke pejabat pembantu khas NC. Tapi masa masuk ke bilik pembantu khas TNC, sempat menjenguk ke dalam ruang bilik TNC. Itu pun sebab pintu tidak bertutup. Ruang yang eksklusif. Kagum aku sebentar.

Terbayang aku, kalau akulah berada di dalam bilik tersebut. Ruang yang sentiasa berhawa dingin, kerusi yang selesa dan eksklusif, suasana yang sunyi...Ya Allah, semoga dimakbulkan. Itu belum melihat lagi Pejabat Perdana Menteri.Namun, jauh di sudut hati aku, aku tertanya-tanya, adakah mereka yang berada di tempat sebegini sempat melihat dan memikirkan keadaan golongan yang berada di bawah, di tempat aku atau kurang bernasib baik berbanding aku. Golongan atasan seperti mereka tinggal di rumah banglo berhawa dingin dan di kawasan elit. Keluar dari rumah, masuk ke dalam kereta berhawa dingin dan bercermin gelap. Keluar dari kereta terus masuk ke pejabat yang berhawa dingin dan berada di tingkat atas. Jauh dari hiruk-pikuk dunia luar. Pejabat pula berada di kawasan bandar terancang. Kalau hari minggu, hendak pergi shopping, semestinya bukan di shopping complex yang penuh dengan remaja yang melepak dengan rokok di tangan kanan, awek di tangan kiri. Bersosial tidak kira masa. Shopping complex mestilah eksklusif. KLCC atau luar negara sekurang-kurangnya. Menghilangkan tension selepas minggu pejabat katanya. Bilakah golongan ini melihat keadaan sosial sebenar negara? Adakah golongan seperti kita mendapat sekelumit perhatian daripada mereka?

Hari sebelum ke bilik TNC, aku melepak di library universiti. Konon hendak selesaikan assignment. Semoga selesai. Sewaktu bergerak hendak ke kuliah seterusnya, aku melintasi mak cik-mak cik cleaner. Aku melemparkan senyuman kepada mereka. Senyumanku berbalas. Sejuk hati. Terfikir aku, apa yang mak cik-mak cik ni fikir dan lakukan dalam kehidupan? Semestinya tidak memikirkan cara bagi memajukan diri ke tahap yang tinggi. Bangun pagi, bersiap-siap pergi kerja, kerja selama sehari suntuk, pulang ke rumah, makan, selepas tu tidur. Kemudian begitulah seterusnya. Kalau tidak bernasib baik, kena marah dengan pihak atasan. Tidak ada ruang buat mereka untuk majukan diri. Apabila melihat mereka, teringat dekat mak kat kampung. Mak pun pernah kerja cleaner. Sewaktu dapat tahu mak kerja cleaner, menitis air mata sebab tak mampu nak menolong. Rasa diri masih tak dapat menggembirakan mak abah.

Jika melihat kedua-dua situasi di atas, aku masih berpeluang untuk memilih antara dua darjat. Alhamdulillah. Aku masih mempunyai peluang untuk berusaha. Berpeluang untuk merasai nikmat menjadi orang kaya dan berjawatan tinggi jika aku berusaha dengan keras dari sekarang. Dapat mengubah nasib keluarga. Namun, aku berdoa jika suatu hari nanti aku berpeluang duduk di salah satu kerusi mereka yang berjawatan tinggi, aku harap aku tidak lupakan kedudukan aku yang sekarang. Aku tidak melupakan peranan aku sebagai hamba Allah.

Akhir kalam, renung2kanlah ayat ini...

'Dan bukanlah hartamu atau anak-anakmu yang mendekatkan kamu kepada Kami; melainkan orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda atas apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi(dalam syurga)' (surah saba' : 37)

alislamu ya'lu wala yu'la 'alaih...

~ Creating ideas for lives ~

1 comment:

cleo said...

Amin...semoga termakbul cita2 ayu..^^

..:[ VisiTors ]:..

Free Hit Counter