Sunday, 18 July 2010

JEJAK BAHAGIA SEORANG MUSLIM




Dari mana datangnya bahagia bagi seorang Muslim? Dari luar atau dari dalam? Kenapa kita melihat orang bukan Islam lebih bahagia daripada kita? Adakah kita mengukur kebahagiaan itu dengan keelokan paras rupa, kekayaan harta benda, kekuasaan yang mutlak, banyaknya teman dan pengikut, atau kejayaan akademik? Kalau itulah ukuran kita, kita bukanlah betul-betul bahagia. Akuilah, hakikatnya kita lebih sibuk menggapai kebahagian dari luar berbanding kebahagiaan dalaman.

Sebenarnya, beza antara Muslim dan kafir itu adalah ia bersyukur apabila mendapat nikmat dan bersabar jika ditimpa musibah. Itu adalah hasil kebahagiaan yang dicari dari dalam. Orang kafir tidak memiliki kebahagiaan dalaman. Allah tidak memberi mereka ketenangan hati seperti mana kita. Mereka sentiasa resah dan gelisah. Jika kita membaca pengalaman-pengalaman mereka yang memeluk Islam, rata-rata menjawab jiwa mereka kosong sebelum memeluk Islam. Oleh sebab itu, mereka yang tidak mendapat hidayah sentiasa tercari-cari kebahagiaan dari luar yang berupa, ramainya teman, rumah yang besar dan selesa, teman wanita dan lelaki yang jelita dan hensem, populariti, melancong ke serata dunia, kereta yang mewah, pengikut yang ramai, dan bermacam lagi perkara yang boleh membahagiakan mereka. Namun, apabila mereka kembali berseorangan di bilik setelah pulang dari parti, majlis, atau pejabat, mereka akan merasakan satu kekosongan yang amat sangat sehingga kadang-kadang kekosongan itu membuatkan mereka seperti hendak gila dan takut. Ya, perkara ini merupakan suatu kebenaran kalau kita baca novel-novel mereka. Semestinya novel itu menggambarkan pemikiran penulisnya. Adakah kita merasakan Angelina Jolie yang kaya-raya, memiliki ramai anak, teman lelaki yang hensem, rupa yang jelita dan populariti itu bahagia? Ya, semua itu adalah kebahagiaan. Tetapi semua itu luarannya sahaja. Bahagia yang dicari dari luar. Sentiasa tidak habis dan tidak lama bahagianya. Harta boleh habis, populariti boleh menurun, teman lelaki boleh berpisah, anak akan bermasalah dan lain-lain lagi.

Persoalannya, adakah kita pun seperti mereka?
Kita berusaha mencari kebahagiaan dari luar tanpa kita sedari. Cuba kita fikirkan sejenak. Kita sentiasa berusaha mencapai tahap akademik yang tinggi dengan harapan ia akan membahagiakan kita. Ya, perasaannya memang membahagiakan sewaktu mendapat tahu keputusan peperiksaan yang cemerlang. Namun, perasaan tersebut lenyap dalam beberapa saat. Kita cuba memberitahu diri sendiri, 'ya, aku bahagia'. Tapi kenapa hanya seketika? Selepas itu kita berusaha lagi dan kita berjaya lagi mendapat kebahagiaan dengan keputusan yang baik. Namun, apabila kita mendapat keputusan yang kurang elok, kita tidak mampu merasakan perasaan bahagia apabila mendapat keputusan yang cemerlang.
Kita berusaha mencari sahabat sejati dan menjumpainya. Kita bahagia. Tetapi, apabila sahabat kita sudah tidak sehaluan, dapatkah kita merasakan kembali kebahagiaan pertama kali kita bersahabat dengannya? Kita mengimpikan rumah yang mewah dan besar. Apabila kita memperolehnya, kita merasakan ini merupakan kebahagiaan kita. Namun, apabila kita ditimpa musibah, rumah yang besar dan mewah tersebut terasa sempit dan menghimpit. Di manakah perasaan bahagia memiliki rumah tersebut? Kita berusaha mencari pasangan hidup yang menepati ciri-ciri yang kita hendak dengan harapan semua ciri-ciri tersebut akan membuatkan kita bahagia. Kita memang takut rumahtangga kita tidak bahagia. Sebab itulah ramai wanita yang tidak berkahwin dengan alasan takut pasangan hidupnya nanti tidak mampu membahagiakan mereka. Apakah jaminan bahawa yang menepati ciri-ciri yang kita kehendaki itu akan membuatkan kita bahagia?
Kenapa kita sibukkan diri dengan sesuatu yang tidak pasti sedangkan kita mempunyai pilihan untuk merasa bahagia? Sedarlah, Muslim itu telah dikurniakan jalan oleh Allah untuk memiliki kebahagiaan yang mutlak yang tidak diperoleh oleh orang kafir. Kenapa kita mengikut jalan mereka dalam mencari bahagia? Kita kata kita tak bahagia sebab Allah tidak mengurniakan rezeki kepada kita, kita tak punya rupa yang cantik, tak punya ibu bapa yang memahami, tak pandai dan segala macam. Tidak sedarkah kita bahawa kebahagiaan datang dari hati? Iaitu dari dalam? Bukankah hati itu hak kita? Bukankah kita berkuasa ke atas hati kita? Oleh itu, kalau kita tak bahagia, salah siapa? Manusia boleh cipta seribu satu peraturan dan kawal hidup kita. Manusia boleh penjarakan jasad kita, hina kita, lukakan kita dengan kata-kata, tetapi tidak ada sesiapa yang berkuasa atas hati kita. Kita rasa terluka kerana kita sendiri benarkan hati kita terluka. Tidak ada manusia dapat ubah hati kita melainkan dengan izin kita dan izin Allah jua kerana kita masih hamba-Nya. Jadi, KUATKAN HATIMU! BAHAGIAKAN HATIMU dahulu sebelum kita mencari kebahagiaan dari luar!
Jumlah tentera Israel yang membunuh diri lebih banyak daripada yang terkorban di medan perang. Kenapa? Kerana hati mereka resah dan gelisah, hati yang kosong menyebabkan mereka merasa tidak pasti dan tidak selamat. Tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin yang terpenjara tidak sekali pun takut dan gentar menghadapi tali gantung. Said Qutb mati di tali gantung dan sedikit pun dia tidak gentar. Kerana apa? Kerana walau jasad diseksa, hati beliau tetap tidak berubah. Walaupun mereka berada di dalam penjara, namun penjara tersebut tidak mampu memenjara hati mereka. Kerana kebahagiaan mutlak bukanlah terletak pada aspek luaran tetapi aspek dalaman iaitu hati.
Jika kita berjaya memperoleh kebahagiaan hati, tidak kira dalam situasi apa pun kita berada, kita masih boleh merasa bahagia dan tidak bersedih hati. Kita boleh lihat perbezaannya antara orang yang bahagia hatinya dan orang yang tidak bahagia hatinya. Orang yang bahagia hatinya, walau masalah sebesar gunung menimpa, dia masih mampu tersenyum dan tenang. Kita yang mendengar masalahnya pun sudah menggeleng-geleng kepala, namun dia masih mampu melemparkan senyuman. Bandingkan pula dengan orang yang tidak bahagia hatinya, masalah yang hanya sekadar ribut secawan kopi, mampu membuatkan dia mengambil jalan singkat seperti membunuh diri sedangkan jalan penyelesaian itu boleh dicari.
Jalan penyelesaian? Tidak mahu tidak, sebagai seorang Muslim kebahagiaan mutlak itu hanya diperoleh apabila kita mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. Bersamaan dengan hampirnya bulan Ramadhan ni, eloklah dilakukan pembersihan hati supaya kita memperoleh bahagia yang dicari. Jika bahagia hati kita, dalam keadaan apa pun, senang atau susah, kita tetap akan merasa bahagia menghadapinya. Perasaan bahagia ini akan berpanjangan kerana kita tahu Allah sentiasa memelihara kita. Jika tidak, Allah tidak akan mengurniakan perasaan bahagia ini yang hanya eksklusif milik seorang Muslim. Jika kita tidak merasa bahagia, kita ubatlah hati kita dahulu.
Ubat hati ada 5 perkara:
1) Baca Quran dan maknanya
2) Berbanyaklah berpuasa
3) Berkumpullah dengan orang soleh
4) Solat malam dirikanlah
5) Zikir malam berpanjanglah
Salah satunya, sapa bisa menjalani, moga-moga Allah Taala mencukupi (lirik nasyid)
Semoga perkongsian ini mampu membantu kita semua dalam menjejaki kebahagiaan yang hakiki milik Illahi. Hidup ini singkat sebenarnya apabila mereka yang kita kenali pergi meninggalkan kita pada usia yang muda.


"Dan kunci-kunci semua yang ghaib ada pada-Nya;
tidak ada yang mengetahui selain Dia. Dia mengetahui apa yang
ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang
tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan
bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau kering,
yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).
(Surah Al-An'am: Ayat 59)
~ Creating ideas for lives ~

..:[ VisiTors ]:..

Free Hit Counter