Tadi, waktu hujan lebat terlelap sebentar bersama-sama dengan bahan bacaan. Khusyuk dan tawaduk menghayati setiap bacaan sehingga entah bila mata terpejam. Sedar-sedar dah masuk asar. Bangun solat, kemudian duduk sebentar di meja tulis sambil kepala serabut memikirkan mana-mana tajuk yang perlu diberikan tumpuan yang lebih. Dalam keserabutan pun tangan masih sempat mencapai
handphone dan melihat mana tahu kot-kot ada mesej dari kekasih (baca mak). Memang mak yang menghantar mesej. Kuat betul
instinct. Buka mesej:
mak: Ayu, sayuti anak pakndak sobri mati
accident hari ni
Innalillahiwainnailaihiroji'un...Terkedu aku...sejuk tangan dan kaki. Terus telefon mak tanya apa-apa yang patut. Lepas telefon, aku melayan fikiran sejenak. Dia baru umur 20 tahun. Samalah dengan aku. Jiwa muda. Teringat balik masa kecik-kecik selalu pergi PASTI dengan dia. Kiranya memang kamcing la. Sampai ada mulut-mulut yang gatal ber
gossip pasal kami. Aku tak kisah. Lagipun kecil lagi masa tu. Main kahwin-kahwin dan kejar-kejar. Terimbau nostalgia lama sebentar...
Tapi bukan perkara tersebut yang ingin dibangkitkan di sini. Yang lalu biarkan berlalu. Lagipun bila dah besar masing-masing faham sendiri batas-batas pergaulan. Selalu nampak dia pun hanya waktu terawih atau sembahyang raya di kampung. Perkara yang bermain di benak dan hendak dikongsikan ialah kita selalu tertanya-tanya bilakah giliran kita nak berkahwin, bila giliran kita hendak memakai kereta besar, bilakah giliran kita hendak menjadi pemimpin, bilakah giliran kita hendak dapat itu dan ini, tapi jaranglah sesangat kita bertanya bilakah giliran kita hendak masuk lubang kubur atau bahasa lembutnya menemui ajal.
Apabila mendengar berita kematian, barulah insaf sebentar dan terfikir soalan tersebut. Memang maut dan ajal datang tanpa mengira umur. Siapa sangka? Dia pun tak tahu yang nikmat hidup yang diberikan Allah padanya hanya setakat umur 20....20 tahun...
Singkat benar bagi manusia seperti kita yang amal ibadatnya tak pernah
upgrade, sentiasa lalai
dan alpa, leka dibuai perasaan muda-mudi, dan sebagainya. Semangat untuk hidup menceracak naik namun siapa sangka bila-bila masa sahaja semangat hidup tersebut akan dicantas oleh panggilan Illahi. Kemudian kita akan ditanya seperti mana ukhti munie tuliskan:
1) Umur, untuk apa umur kita ini dihabiskan?
2) harta, dari mana kita dapatkan?
3) Harta, ke mana kita habiskan?
4) Jasad, untuk apakah jasad ini disumbangkan?
Sekarang kita boleh mencongak-congak jawapannya dan membuat perubahan, tapi bagi orang yang telah menghadapi kematian seperti dia...Ya Allah, golongkanlah dia dalam orang-orang yang beriman.
Akhir kalam, sebenarnya apabila kita menghadapi kematian, barulah mata kita akan celik. Selama kita hidup ini mata kita sebenarnya buta. Sewaktu berada di dalam kubur, baru kita tahu apa-apa yang sepatutnya kita lakukan sewaktu hidup di dunia dan apa yang tidak sepatutnya kita lakukan...
Persoalannya, adakah berguna kesedaran kita pada waktu itu?
Azan maghrib sudah berkumandang, oleh itu setakat ini dahulu. Hidup ini terlalu singkat untuk dibazirkan...
~Al-islamu ya'lu wala yu'la 'alaih~
~ Creating ideas for lives ~